CATITAN PENGALAMAN SEORANG HAMBA ALLAH.....

Pelajarilah Ilmu, karena mempelajarinya karena Allah adalah khasyah, Menuntutnya adalah ibadah, mempelajarinya adalah Tasbih, mencarinya adalah Jihad, Mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahui adalah Shadaqah, menyerahkan kepada ahlinya adalah Taqarrub. Ilmu adalah teman dekat dalam kesendirian dan sahabat dalam kesunyian.
- Muadz bin Jabal radhiyallahu'anhu
free counters

Followers

Wednesday, March 23, 2011

MENYINGKAP PERIHAL JIN

FATWA TENTANG SIHIR DAN JIN



(Susunan: Dr. Rushdi Ramli)

[A] Fatwa Mengenai Hukum Merawat Dengan Ayat-Ayat Al-Quran Dan Doa-Doa Yang Sah

Sheikh Abdullah Abdul Rahman al-Jabrin, seorang ulama semasa tersohor dari Arab Saudi, telah diajukan beberapa soalan dan fatwa yang berkaitan dengan “hukum dan amalan rawatan dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa yang sah”.

Antara fatwa-fatwa yang beliau nyatakan sebagai penjelasan kepada isu ini :

1. “…..Tidak ada halangan untuk membaca ayat-ayat tertentu daripada al-Quran atau doa-doa tertentu dan kemudiannya dihembuskan kepada air zamzam, atau pada minyak zaiton, dan kemudiannya pesakit disapukan dengan bahan-bahan yang telah didoakan itu….”

2. “…..tidak ada halangan untuk membacakan ayat-ayat al-Quran kepada diri pesakit, dan tidak ada halangan sekiranya pesakit tersebut dibacakan [dijampikan] dengan lebih dari seorang perawat. Maka sesungguhnya al-Quran adalah kalam Allah yang dijadikannya sebagai penawar kepada apa yang terdapat di dalam dada…..”

3. “……Membaca al-Quran sebagai suatu kaedah rawatan [ruqyah] adalah harus dan tidak menyalahi hukum syarak, namun wajar sekali perawat yang membaca al-Quran tersebut berupaya untuk membacanya dengan baik, memahami makna ayat-ayat yang dibaca, mempunyai iktikad yang benar, sentiasa beramal salih dan beristiqamah di dalam beribadah kepada Allah. Tidak menjadi syarat bagi seorang “perawat dengan al-Quran” untuk mengetahui secara mendalam dan terperinci selok-belok hukum-hakam fiqh. Walau bagaimana pun adalah terlalu penting bagi seorang perawat untuk memperbetulkan niatnya (apabila memberi rawatan, yakni, hendaklah berniat untuk mencari reda Allah semata-mata melalui khidmat yang diberikan) di samping berniat untuk memberikan khidmat dan manfaat kepada para pesakit dan umat Islam yang berhajat. Di dalam hal ini janganlah seseorang perawat itu menjadikan harta dan upah sebagai sasaran dan matlamat yang dicari. Apa yang dinyatakan ini adalah penting bagi memastikan doa-doa kesembuhan yang dibacakan itu lebih hampir untuk dimakbulkan oleh Allah.

4. “…..Mempelajari kaedah rawatan dengan al-Quran dengan niat untuk memberi manfaat kepada kaum Muslimin dan merawati penyakit-penyakit yang kronik adalah sunat. Ini adalah kerana kitab Allah [al-Quran] merupakan penawar yang sentiasa memberi manfaat dan faedah [terhadap para pesakit]…”[1]

Ulasan Ringkas :

Adalah jelas berdasarkan fatwa di atas bahawa merawat pesakit, samada penyakit fizikal ataupun rohani, dengan kaedah pembacaan al-ruqyah al-syar`iyyah atau pembacaan apa jua doa-doa yang sah dan muktabar adalah suatu amalan yang benar menurut neraca Syarak, diperakui oleh para ulama tersohor dan bukan sama sekali daripada amalan bid`ah yang mungkar. Begitu juga amalan menjampikan air dan apa jua bahan yang suci lagi halal dengan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa yang sahih untuk tujuan dijadikan penawar adalah harus dan dibolehkan menurut hukum syarak.

[B] Penjelasan Ringkas Mengenai Hukum Mempelajari Ilmu Sihir Dan Apakah Hukuman Ke Atas Ahli Sihir?

Menurut ulama tersohor Imam Ibn Hajar al-`Asqalani, firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 102;




[Mafhumnya] mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir Yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan Dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir Yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah Yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah Yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa Yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya Dengan berkata: "Sesungguhnya Kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah Engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir Yang boleh menceraikan antara seorang suami Dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) Dengan sihir itu seseorang pun melainkan Dengan izin Allah. dan sebenarnya mereka mempelajari perkara Yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. dan Demi Sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui Bahawa sesiapa Yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian Yang baik di akhirat. Demi Sesungguhnya amat buruknya apa Yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.




Ayat ini menunjukkan secara jelas bahawa mempelajari ilmu sihir adalah daripada amalan kufur yang wajib dijauhi oleh seorang Muslim.

Imam Ibn Qudamah menyatakan, “……mempelajari sihir dan mengajarkan ilmu ini kepada orang adalah haram di mana kami tidak mengetahui wujudnya khilaf [perbezaan pendapat] di kalangan para ahli ilmu mengenai perkara ini…”[2]

Imam Abu Hayyan menyatakan di dalam kitabnya al-Bahr al-Muhit, “…adapun hukum mempelajari sihir, maka apa-apa ilmu sihir yang melibatkan perlakuan memuja serta mengagungkan sesuatu yang lain dari Allah maka mempelajarinya adalah haram menurut ijmak ulama, iaitu tidak harus mempelajarinya dan tidak juga beramal dengannya. Adapun sekiranya tidak dapat dipastikan apakah ilmu sihir tersebut melibatkan unsur-unsur syirik terhadap Allah ataupun tidak, maka yang pastinya mempelajari ilmu tersebut tetap tidak harus dan tidak juga harus beramal dengannya…….”

Menurut penjelasan Sheikh Muhammad ibn Salih al-`Uthaymin, mempelajari ilmu sihir adalah haram dan tidak dibenarkan, bahkan boleh membawa kepada kekufuran, iaitu berdasarkan ayat 102 dari surah al-Baqarah.

Kerana itu, jelas beliau, “……seorang ahli sihir, menurut hukum syarak, hendaklah dibunuh, dan hukuman bunuh di sini dilaksanakan atas dasar diri ahli sihir tersebut telah murtad dari Islam atau atas dasar suatu hukuman hudud yang wajib dikenakan ke atasnya. Sekiranya amalan sihirnya telah sampai ke tahap kufur maka dia dibunuh atas dasar amalan murtadnya, dan sekiranya amalan sihirnya tidak sampai ke tahap kufur [tidak melibatkan penyembahan jin dan syaitan] maka dia dibunuh atas dasar hukuman hudud….” [3]

Ulasan Ringkas :

Semoga kita sentiasa menjauhkan diri dengan sejauh-jauhnya dari amalan sihir dan para ahli sihir walau sesusah mana dan seberat mana ujian dan penderitaan sakit yang ditimpakan oleh Allah ke atas kita. Sentiasalah bersabar, mengharapkan balasan pahala dari sisi Allah dan terus berusaha mencari penawar melalui jalan dan kaedah rawatan yang tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Jadikan al-Quran sebagai penawar dan jauhilah tabib-tabib yang melibatkan khidmat penggunaan makhluk jin dan syaitan di dalam rawatan atau melibatkan amalan-amalan yang mencurigakan menurut neraca Syarak. [terdapatnya unsur syubhah]. Sesungguhnya melakukan rawatan yang melibatkan unsur-unsur syirik kepada Allah [seperti berdoa kepada jin] adalah haram dan tidak dibenarkan menurut kata sepakat [ijmak] para ulama.

Wallahu'alam.

Nota Kaki:
[1] Dipetik dari kitab al-Lu’lu’ al-Makin Min Fatawa al-Shaykh Abdullah Abdul Rahman al-Jabrin, Dar al-Furqan, Sa`udi Arabia, 1997.
[2] Ibn Qudamah, al-Mughni, juzuk 10, muka 106
[3] Muhammad bin Salih al-`Uthaymin, al-Majmu` al-Thamin Min Fatawa al-Shaykh ibn `Uthamyin

No comments:

Post a Comment